Jangan abaikan suara masyarakat Cina Sabah
KOTA KINABALU – Tiada parti atau gabungan politik boleh mengabaikan suara masyarakat Cina yang kekal mempunyai pengaruh dalam menentukan landskap politik Sabah.
Naib Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), David Ong berkata, keputusan PRN Sabah ke-17 yang menyaksikan kawasan DUN majoriti pengundi Cina dimenangi pembangkang tidak bermakna masyarakat itu sudah kehilangan pengaruh politik.
Menurutnya, masyarakat Cina masih memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya, pembentukan kerajaan dan hala tuju masa depan negeri.
Beliau berkata, komuniti berkenaan perlu terus terlibat secara aktif dalam politik dengan menyokong sebuah kerajaan yang stabil, inklusif serta diterajui pemimpin tempatan.
David menyifatkan GRS sebagai platform yang sesuai untuk menyatukan kepelbagaian kaum di Sabah, di samping mempertahankan hak negeri dan mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, LDP akan terus menjadi penghubung antara masyarakat Cina dengan kerajaan GRS bagi memastikan suara serta aspirasi komuniti itu didengari.
Beliau turut menegaskan politik Sabah perlu bergerak atas landasan kesederhanaan dan perpaduan, bukannya sentimen kaum atau agama.

