Warisan sindir ‘rumah besar’ GRS, dakwa kunci masih di Putrajaya

KOTA KINABALU: Pemangku Ketua Wira Warisan, Mohd Firdaus Diun mempersoalkan konsep “rumah besar” yang sering dibawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan mendakwa gabungan itu masih bergantung kepada percaturan politik dari Putrajaya.

Firdaus berkata sebuah “rumah besar” sepatutnya memberi kebebasan kepada penghuninya menentukan hala tuju sendiri, termasuk bagaimana ia diurus dan siapa yang berada di dalamnya.

Sebaliknya, katanya, keadaan menjadi seperti sebuah “asrama” jika penghuninya masih tertakluk kepada arahan atau pengaruh pihak yang memegang kuasa.

“Adakah GRS benar-benar sebuah rumah besar Sabah, atau sebenarnya sebuah asrama politik yang kuncinya masih dipegang Putrajaya?” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut membangkitkan pembentukan kerajaan negeri selepas PRN Sabah apabila parti seperti BN dan UPKO yang sebelum itu bertanding menentang GRS akhirnya bersama dalam kerajaan.

Menurutnya, jika benar matlamat GRS ialah menyatukan kekuatan politik tempatan, gabungan itu sepatutnya memilih untuk membentuk kerajaan yang benar-benar berteraskan parti Sabah.

Firdaus berkata GRS mempunyai pilihan mendapatkan sokongan parti tempatan yang mempunyai wakil rakyat, tetapi sebaliknya turut membawa PH dan BN ke dalam kerajaan.

Katanya, Sabah perlu mencontohi Sarawak yang menggunakan kekuatan politik tempatan untuk meningkatkan kuasa tawar-menawar dengan Kerajaan Persekutuan.

“Rumah besar Sabah sepatutnya dibina oleh rakyat Sabah, ditentukan rakyat Sabah dan kuncinya mesti berada di tangan rakyat Sabah,” katanya.

Berita Berkaitan