Lelaki 60-an maut dipercayai terkena renjatan elektrik

TAWAU: Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di Masjid Taman Kinabutan Rudiah, Jalan Apas, di sini, malam tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 petang sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera CFRT dikerahkan ke lokasi.

Komander Operasi, PBK I Zougarana Konin berkata, pasukan tiba pada jam 6.25 petang dan mendapati mangsa tertiarap di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan bomba kemudian meminta bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memotong bekalan elektrik di kawasan kejadian sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 7.42 malam selepas pasukan bomba memastikan kawasan kejadian selamat.

Turut berada di lokasi ialah anggota KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SESB.

Berita Berkaitan