Hubungan dengan Zahid baik, Anwar pilih damai urus perbezaan

MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungannya dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal baik, sambil menolak gambaran bahawa hubungan kedua-dua pemimpin itu sedang retak.

Anwar berkata pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai hubungan mereka adalah pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

“Memang dia (Khairy) selalu lihat dari segi cara gaduh. Saya lihat cara damai dan itu yang berbeza,” katanya selepas menyampaikan amanat Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka, hari ini.

Menurut Presiden PKR itu, sebarang perbezaan pandangan sama ada dalam parti mahupun antara parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan boleh ditangani melalui perbincangan dan pendekatan damai.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid atas peranannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam merealisasikan pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Sebab itu, tadi saya ucap terima kasih dalam ucapan saya tentang peranan Ahmad Zahid dan UMNO dan selaku Pengerusi BN dalam memeterai Kerajaan Perpaduan peringkat awal,” katanya.

Semalam, Khairy mendakwa tahap kepercayaan antara Anwar dan Ahmad Zahid berada pada paras paling rendah sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2022 susulan hubungan politik BN-PH yang semakin mencabar.

Berita Berkaitan