Bakeri kena tindakan, permit CSA tamat tempoh

LABUAN: Sebuah syarikat bakeri di sini berdepan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas didapati menggunakan permit menyimpan barang kawalan berjadual (CSA) yang sudah tamat tempoh.

Kesalahan itu dikesan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Wilayah Persekutuan Labuan ketika menjalankan pemeriksaan menerusi Ops Tiris 4.0 di kawasan pinggir bandar, semalam.

Hasil pemeriksaan mendapati permit CSA milik syarikat berkenaan sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui.

Bagaimanapun, syarikat itu masih menjalankan aktiviti perniagaan membabitkan pembelian, penyimpanan dan penggunaan barang kawalan berjadual tanpa permit sah.

Susulan penemuan itu, beberapa dokumen berkaitan disita bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] serta perundangan subsidiari berkaitan.

Jika disabitkan kesalahan, syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta, manakala kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta.

KPDN WP Labuan mengingatkan semua pemegang lesen dan permit barang kawalan supaya tidak mengambil mudah tarikh tamat tempoh serta mengemukakan permohonan pembaharuan lebih awal.

KPDN turut menegaskan pemeriksaan akan terus dipergiat dan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan barang kawalan.

Berita Berkaitan