Malaysia, Filipina mahu percepat penghantaran pulang lebih 5,000 PATI dari Sabah

MANILA: Malaysia dan Filipina sedang mencari jalan mempercepat proses penghantaran pulang lebih 5,000 pendatang tanpa izin warga Filipina yang kini ditempatkan di empat pusat tahanan di Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lebih 1,000 daripada jumlah berkenaan sudah dikenal pasti melalui proses saringan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur dan boleh dihantar pulang.

Menurutnya, tindakan segera diperlukan berikutan pusat tahanan di Sabah kini berdepan masalah kapasiti akibat jumlah tahanan yang ramai.

“Kita berbincang bagaimana untuk mempercepat proses menghantar pulang pendatang tanpa izin dari Filipina oleh kerajaan negara itu melalui jalan laut atau apa jua cara.

“Pusat tahanan ini sudah tidak mampu menampung jumlah tahanan yang begitu ramai,” katanya selepas Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Filipina kesembilan, hari ini.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara turut membincangkan pendidikan anak warga Filipina di Sabah, termasuk keperluan menyediakan kelas pembelajaran sementara sebelum mereka dihantar pulang.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan kemudahan pendidikan berkenaan perlu diurus dan dikawal selia kerajaan Filipina.

Mengenai tuntutan Sabah oleh pihak tertentu di Filipina, Mohamad menegaskan Sabah telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian daripada Malaysia.

Berita Berkaitan