Calvin cadang GST 2 peratus jika mahu diperkenalkan semula

SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan disaran mempertimbangkan kadar permulaan GST serendah dua peratus sekiranya mahu memperkenalkan semula elemen sistem percukaian berkenaan.

ADUN Elopura, Calvin Chong berkata, kadar rendah lebih sesuai dalam keadaan rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup.

Menurutnya, beliau tidak menolak GST secara prinsip kerana sistem itu mempunyai mekanisme kutipan yang lebih menyeluruh dan telus berbanding SST.

“Saya tidak anti-GST. Malah, jika kerajaan benar-benar mahu memperkemaskan sistem percukaian negara, saya lebih terbuka kepada GST yang dilaksanakan secara terkawal, telus dan dengan perlindungan kepada rakyat.

“Kalau kerajaan serius mahu melakukan reformasi, mulakan dengan kadar yang rendah, contohnya dua peratus,” katanya dalam kenyataan.

Calvin berkata barangan keperluan asas perlu dikecualikan manakala mekanisme kawalan harga mesti diperkukuh bagi mengelakkan pengguna menanggung peningkatan kos.

Pada masa sama, beliau meminta kerajaan menjelaskan secara telus kelemahan SST sekiranya terdapat keperluan mengambil elemen daripada GST.

Menurutnya, Sabah perlu diberikan pertimbangan khusus kerana tahap pendapatan, kos logistik dan struktur ekonomi negeri itu berbeza.

Beliau berkata reformasi percukaian juga perlu berjalan seiring dengan pengagihan hasil yang lebih adil kepada Sabah.

“Rakyat sudah cukup terbeban. Jangan tambah lagi beban mereka atas nama reformasi cukai,” katanya.

Berita Berkaitan