UMS, Atom Malaysia perkukuh kerjasama penyelidikan, STEM
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan, teknologi sinaran, penyelidikan dan pendidikan STEM.
MoU itu ditandatangani Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, dan Ketua Pengarah Atom Malaysia, Noraishah Pungut, di Bangunan Canselori UMS.
Kasim berkata kerjasama itu akan menghubungkan penyelidik universiti secara lebih langsung dengan pihak berkuasa kawal selia bagi memastikan pembangunan sains dan teknologi dilaksanakan dengan tahap keselamatan serta kawalgunaan yang tinggi.
Katanya, MoU itu merangkumi empat teras strategik termasuk program jangkauan STEM, penyelidikan gunaan, pengayaan akademik serta pembangunan modal insan dan latihan industri.
Kerjasama berkenaan akan melibatkan penyelidikan bersama, perkongsian data, penerbitan hasil kajian, pemantauan radiasi alam sekitar serta penglibatan pakar Atom Malaysia dalam program akademik UMS.
Pelajar dan staf teknikal turut akan mendapat manfaat menerusi peluang latihan industri dan pertukaran penempatan.

