SAFMA salur Ikan Rakyat Sabah kepada mangsa kebakaran Numbak

KOTA KINABALU: Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) menyalurkan sumbangan Ikan Rakyat Sabah kepada mangsa kebakaran di Kampung Numbak, Karambunai.

Sumbangan itu diserahkan Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, kepada PPM Karambunai, Nordin Ludah, untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas.

Turut serta dalam usaha berkenaan ialah wakil Persatuan Perikanan serta pemilik kapal Pantai Barat Sabah.

Burhan berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban mangsa, khususnya dalam memenuhi keperluan makanan harian sementara mereka melalui proses pemulihan.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat memberi sedikit kelegaan kepada mangsa serta membantu memenuhi keperluan makanan harian mereka,” katanya.

Menurutnya, kerjasama pelbagai pihak penting dalam membantu masyarakat yang terjejas akibat bencana.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Perikanan dan pemilik kapal Pantai Barat Sabah atas sokongan dalam menjayakan penyaluran bantuan itu.

Katanya, SAFMA akan terus menyokong usaha bantuan kemasyarakatan khususnya ketika berlaku bencana dan musibah.

Berita Berkaitan