Yayasan Sabah terima dividen RM168.3 juta daripada ICSB
KOTA KINABALU: Yayasan Sabah menerima bayaran dividen berjumlah RM168.3 juta daripada anak syarikatnya, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB).
Penyampaian dividen itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebelum Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah di Menara Kinabalu, hari ini.
Bayaran berjumlah RM168,299,994.90 itu disampaikan Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya kepada Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.
Dalam majlis sama, ICSB turut menyerahkan dividen sebanyak RM4.08 juta kepada Kerajaan Negeri.
Replika cek berkenaan disampaikan Ghulamhaidar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
Sementara itu, Innoprise Plantations Berhad turut membuat bayaran dividen sebanyak RM45,689,187.33 kepada syarikat induknya, ICSB.
Ketiga-tiga bayaran dividen itu disampaikan sebelum berlangsungnya Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.

