BUDI Diesel 400 liter baik, tapi Sabah perlukan lebih fleksibel
TENOM: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin menggesa kerajaan menambah baik mekanisme BUDI Diesel di Sabah supaya lebih fleksibel dan mengambil kira realiti kehidupan masyarakat luar bandar serta pedalaman.
Beliau berkata peningkatan kelayakan sehingga 400 liter sebulan bagi pemilik kenderaan diesel individu pacuan empat roda dan pikap merupakan langkah positif, namun pelaksanaannya tidak wajar disamakan sepenuhnya dengan kawasan bandar.
Menurutnya, kenderaan pacuan empat roda dan pikap di kawasan seperti Tenom bukan lambang kemewahan, sebaliknya menjadi kenderaan kerja utama untuk membawa hasil pertanian, bergerak di kawasan berbukit dan menjalankan aktiviti ekonomi.
Riduan berkata jarak perjalanan yang jauh, keadaan jalan raya serta kekurangan pengangkutan awam menyebabkan penggunaan diesel di Sabah lebih tinggi dalam keadaan tertentu.
Beliau turut membangkitkan isu kenderaan yang didaftarkan atas nama pasangan, ibu bapa atau ahli keluarga, walaupun digunakan oleh individu lain yang benar-benar layak menerima subsidi.
Katanya, proses pemindahan kelayakan perlu dipermudah supaya pengguna sebenar tidak tercicir daripada menerima manfaat.
Riduan turut meminta kerajaan menilai semula sama ada had 400 liter benar-benar mencukupi, khususnya bagi petani, pekebun kecil dan penduduk pedalaman.
“Sekiranya kuota habis sebelum penghujung bulan, kos tambahan yang ditanggung akhirnya memberi kesan kepada pendapatan masyarakat luar bandar, kos membawa hasil pertanian dan kegiatan ekonomi setempat,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan mekanisme kuota tambahan diwujudkan berdasarkan keperluan dan kategori pengguna.
Pada masa sama, Riduan mahu penguatkuasaan terhadap ketirisan dan penyeludupan diesel terus diperketatkan menerusi pemantauan di sempadan, rantaian bekalan dan transaksi bahan api.
“Ketirisan perlu ditutup pada puncanya, bukannya dengan mengehadkan keperluan rakyat Sabah yang benar-benar memerlukan diesel untuk kehidupan dan pekerjaan mereka.
“Subsidi bersasar perlu menyasarkan pihak yang layak, bukannya mengehadkan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

