MINDET sokong KUSKOP jayakan Karnival Hebatkan Perniagaan di Sabah

KOTA KINABALU : Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) menyokong penuh kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah pada Oktober ini.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata MINDET akan membantu membawa 50 usahawan tempatan menyertai karnival berkenaan.

“Kita mengalu-alukan kerjasama ini dan akan memberikan sokongan penuh bagi menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Sabah.

“MINDET akan membantu membawa 50 usahawan tempatan untuk menyertai karnival ini,” katanya selepas menerima kunjungan KUSKOP yang diketuai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.

Karnival itu dijadual berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober di Kota Kinabalu, dengan Padang Merdeka dan Lintasan Deasoka antara lokasi yang sedang dipertimbangkan.

Ewon berkata kerjasama MINDET dan KUSKOP turut memberi tumpuan kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutama dalam menangani cabaran akses kepada pembiayaan.

Menurutnya, MINDET turut memperkenalkan dua inisiatif di bawah agenda Sabah First bagi memperkasa syarikat tempatan serta mengurangkan kos pemain industri logistik.

Sementara itu, Mohamad berkata HPM Edisi Sabah menyasarkan penyertaan 100 usahawan, masing-masing 50 daripada KUSKOP dan 50 daripada MINDET.

Katanya, penganjur turut menyasarkan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari karnival.

Menurut Mohamad, karnival itu bukan sekadar menyediakan ruang jualan tetapi turut memberi tumpuan kepada program padanan perniagaan bagi membantu usahawan memperluas pasaran.

Beliau berkata Ketua Menteri Sabah turut dijemput dan bersetuju hadir bagi menyempurnakan majlis penutupan pada 25 Oktober.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata KUSKOP akan meneruskan Projek Tamu Desa yang diperkenalkan Ewon ketika menerajui kementerian itu sebelum ini.

Sehingga Ogos 2026, sebanyak 134 Projek Tamu Desa siap dilaksanakan dan beroperasi di seluruh Sabah dengan peruntukan RM30.6 juta.

Berita Berkaitan