Harimau Malaya Yong Choh dilepas kembali ke habitat

KUALA LUMPUR : Seekor Harimau Malaya betina, Yong Choh, kembali ke habitat semula jadinya selepas selesai menjalani proses rehabilitasi berikutan konflik manusia dan hidupan liar.

Yong Choh sebelum ini ditempatkan di National Wildlife Rescue Centre (NWRC), Sungkai dan hanya dilepaskan selepas disahkan berada dalam keadaan sihat serta bebas penyakit oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut menyaksikan pelepasan haiwan berkenaan.

Selain Harimau Malaya itu, beberapa spesies hidupan liar lain termasuk gajah, harimau kumbang, rusa sambar, kijang dan tenggiling yang pernah terlibat dalam konflik dengan manusia turut dikembalikan ke habitat masing-masing.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan kelangsungan spesies terancam, selain mengekalkan kepelbagaian genetik dan mengurangkan konflik hidupan liar dengan komuniti setempat.

Pada majlis sama, Arthur merasmikan Ele Max (Elephas maximus @ Kenyir), tongkang khas yang digunakan bagi memudahkan operasi memindah dan melepaskan hidupan liar bersaiz besar terutama gajah.

Tongkang berkenaan pernah digunakan dalam operasi menyelamat gajah dikenali sebagai Sulong Chalil yang dikesan berkeliaran di sekitar Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli.

Gajah itu kemudiannya berjaya dipindahkan sebelum dilepaskan kembali ke habitat semula jadi.

Usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan Perhilitan dalam memastikan khazanah biodiversiti negara terus terpelihara.

Berita Berkaitan