Masiung bimbang peningkatan aktiviti tentera AS, China dekat Sabah
KOTA KINABALU: Pengerusi Kelab Backbenchers DUN Sabah, Datuk Masiung Banah, menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti ketenteraan Amerika Syarikat dan China di Laut Cina Selatan, khususnya kerana Sabah terletak berhampiran kawasan strategik berkenaan.
Menurutnya, Malaysia perlu memantau perkembangan itu secara teliti bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan Sabah dan Sarawak tidak terjejas.
Beliau turut menggesa Wisma Putra mengambil pendekatan diplomatik lebih aktif dengan AS, China dan Filipina untuk mengekalkan kestabilan serantau.
Masiung berkata, perhatian khusus perlu diberikan terhadap pembangunan kemudahan serta aset ketenteraan Filipina bersama AS di Pulau Balabac, yang menurutnya terletak kira-kira 50km dari Pulau Banggi, Sabah.
“Memandangkan jaraknya yang dekat dengan Sabah, adalah wajar bagi kerajaan Malaysia menilai implikasi keselamatan terhadap rakyat, terutamanya di kawasan pantai utara Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran tentera AS di Balabac tidak harus dilihat secara berlebihan, namun Malaysia juga tidak boleh mengetepikan hakikat bahawa isu tuntutan Filipina terhadap Sabah masih wujud.
“Pendekatan diplomatik yang bijaksana amat diperlukan,” katanya.
Masiung berkata, perkembangan ketenteraan AS dan China di sekitar Borneo menunjukkan kehadiran aset pertahanan kedua-dua kuasa semakin ketara, namun beliau percaya sebarang risiko konflik masih boleh dikawal melalui saluran diplomatik.
Katanya, hubungan Malaysia dan Filipina ketika ini berada pada tahap baik dan kerjasama serantau perlu diteruskan bagi mengelakkan salah faham yang boleh mencetuskan ketegangan.

