Sabah perlu perkukuh strategi pengurangan permintaan dadah
KOTA KINABALU : Malaysia perlu memperkukuh strategi pengurangan permintaan dadah secara lebih menyeluruh susulan beberapa kes penahanan rakyat negara ini berkaitan dadah di luar negara.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga dan Profesional Ketagihan Bertauliah Antarabangsa, Profesor Madya Dr Mohd Nazri Mohd Daud berkata, masalah dadah kini semakin kompleks, dinamik dan bersifat rentas sempadan sehingga memerlukan pendekatan bersepadu.
Menurutnya, penguatkuasaan dan pengurangan permintaan dadah perlu bergerak seiring kerana kedua-duanya saling melengkapi.
“Penguatkuasaan yang kukuh menyekat bekalan dadah terlarang dan melindungi sempadan negara, manakala pengurangan permintaan secara proaktif melindungi rakyat daripada gangguan penggunaan bahan, eksploitasi dan ketagihan,” katanya.
Beliau berkata, usaha pencegahan tidak seharusnya hanya bergantung kepada kempen kesedaran, sebaliknya perlu bermula dalam keluarga, sekolah, tempat kerja, sistem penjagaan kesihatan dan komuniti.
Dr Mohd Nazri berkata, pengesanan awal terhadap penggunaan bahan berisiko juga perlu diperluas melalui saringan, intervensi ringkas serta sistem rujukan yang berkesan.
Menurutnya, perkara itu amat penting di Sabah kerana faktor geografi, kawasan luar bandar dan akses tidak sekata kepada perkhidmatan kepakaran boleh menjadi halangan kepada rawatan awal.
Beliau berkata, berdasarkan data yang dilaporkan di Parlimen, seramai 3,553 individu dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan di Sabah bagi tempoh Januari hingga Mac 2026.
Katanya, angka itu menunjukkan keperluan untuk memperhebat pendekatan bersepadu termasuk penglibatan keluarga, sekolah, NGO, petugas kesihatan dan agensi kerajaan.
Beliau menegaskan, kejayaan menuju aspirasi Dadah Terkawal 2030 tidak boleh hanya diukur melalui jumlah rampasan dadah atau sindiket yang ditumpaskan.
Sebaliknya, ia perlu turut mengambil kira pengurangan pengguna baharu, peningkatan pengesanan awal, akses rawatan yang lebih luas, pengurangan relaps dan penurunan permintaan terhadap dadah.
“Setiap individu yang berjaya dicegah daripada memulakan penggunaan dadah adalah satu kejayaan,” katanya.

