RM5 juta laksana 266 program sukarelawan belia seluruh negara
TAWAU : Kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi melaksanakan 266 program sukarelawan dan enam program latihan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan penglibatan belia dalam perkhidmatan kebajikan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, usaha itu dilaksanakan antaranya menerusi program RHYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni hasil kerjasama strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menurutnya, program berkenaan menjadi platform menggembleng tenaga golongan muda dalam aktiviti kesukarelawanan, termasuk membantu dan menyantuni warga emas.
“Sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan di peringkat kebangsaan bagi menjayakan program ini yang secara keseluruhannya melibatkan 266 program dan enam program latihan bagi seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program RHYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni, Sukarelawan Belia Dalam Perkhidmatan Kebajikan di Dewan Dato Abdullah Jaapar, Kastam Cawangan Tawau.
Rina berkata, pelaksanaan Program Sihat Warga Emas di Tawau menyasarkan penyertaan 100 warga emas, dengan bantuan 30 sukarelawan belia.
Katanya, kerajaan akan terus memperkasa warga emas dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi memastikan golongan itu dapat menjalani kehidupan secara aktif, sihat serta bermaruah.
Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk senamrobik, sokongan psikologi kepada penjaga warga emas, ceramah rakan digital, pertolongan cemas dan pertandingan karaoke.

