Empat maut selepas kereta dipercayai hilang kawalan, bertembung lori

TELUPID: Empat individu maut selepas kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7, Jalan Telupid-Beluran, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Hasan Majid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika kereta itu dalam perjalanan dari arah Beluran menuju ke Pekan Telupid.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 63 tahun bersama tiga penumpang warga asing.

“Ketika melalui kawasan berselekoh, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori ketika kejadian dalam perjalanan ke tempat kerja,” katanya.

Hasan berkata, pemandu lori mengalami kecederaan pada kaki dan tangan akibat pertembungan berkenaan.

Katanya, empat mangsa dalam kereta mengalami kecederaan parah akibat tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka supaya tampil membantu siasatan.

Berita Berkaitan