Pemandu tiada CDL, BMW disita JPJ Sabah

TUARAN: Sebuah kenderaan mewah jenis BMW disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah selepas pemandunya didapati tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dalam Ops Ronda Harian di sekitar Jalan Lintas–Inanam.

JPJ Sabah memaklumkan, pemeriksaan dilakukan anggota Stesen Penguatkuasa Telipok pada 8 September lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan itu turut tamat tempoh, manakala insurans masih sah.

Susulan itu, kenderaan berkenaan disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa Telipok untuk pemeriksaan lanjut.

JPJ turut mengeluarkan notis sita serta notis saman kepada pemandu dan pemilik kenderaan.

JPJ Sabah menegaskan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas dan tanpa kompromi bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya.

Berita Berkaitan