Isu PAU: Pemimpin politik perlu peka sensitiviti agama, kata PERSANTUN

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN) mengingatkan pemimpin politik supaya menjaga batas dan adab ketika berucap, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Presidennya, Datuk Najib Tay Abdullah berkata kontroversi membabitkan ucapan seorang pemimpin UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 perlu dijadikan pengajaran supaya kejadian sama tidak berulang.

Katanya, ucapan yang menyentuh paderi Katolik dan biarawati itu tidak wajar serta telah mengguris perasaan masyarakat.

“Perkara ini amat sensitif. Janganlah mahu menyampaikan hujah sehingga perlu melibatkan tafsiran kitab agama lain jika tidak mahir, apatah lagi di pentas politik yang sentiasa menjadi tumpuan ramai seperti PAU.

“Semestinya di Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian kaum dan agama amat menentang perkara ini. Fikirkanlah mengenai keadaan sosial kami di sini, jangan berbuat sesuka hati,” katanya dalam kenyataan.

Najib berkata beliau difahamkan pemimpin terbabit sudah membuat permohonan maaf dan berharap kontroversi itu tidak berulang.

Isu berkenaan sebelum ini turut dibangkitkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang mengkritik penggunaan kisah membabitkan paderi dan biarawati serta rujukan kepada Mazmur 129 dalam ucapan berkenaan.

Menurut Najib, rakyat Sabah juga tidak seharusnya terpengaruh dengan sebarang hasutan susulan kontroversi itu dan perlu terus mempertahankan keharmonian antara kaum dan agama.

“PERSANTUN turut sama mengecam isu ini dan saya berharap semua pihak kekal tenang.

“Biarlah perkara ini menjadi pengajaran berguna. Kita di Sabah sentiasa mengamalkan budi pekerti meskipun mempunyai pegangan serta perjuangan politik yang berbeza,” katanya.

Beliau turut berkata perpaduan antara kaum perlu terus menjadi keutamaan dan tidak boleh digugat oleh polemik politik.

Berita Berkaitan