Pistol Colt .45, syabu 901 gram dalam bilik penginapan
TAWAU: Sepucuk pistol semi-automatik Colt .45 bersama tiga butir peluru dan dadah disyaki syabu seberat 901.35 gram dirampas selepas polis menyerbu sebuah bilik penginapan di Jalan Dunlop di sini.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau.
Katanya, pemeriksaan dalam bilik menemukan pistol berkenaan bersama satu kelopak dan tiga butir peluru yang disimpan dalam plastik hitam.
Suspek kemudian membawa polis ke sebuah Proton Wira di kawasan penginapan terbabit.
Pemeriksaan terhadap beg silang hitam di bawah tempat duduk pemandu menemukan satu paket mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 901.35 gram.
Siasatan awal mendapati suspek mendakwa dadah itu miliknya dan diperoleh daripada seorang lelaki di Sungai Pukul, Sebatik.
Suspek turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine dalam ujian saringan air kencing.
Bagi senjata api pula, suspek mendakwa pistol berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki di Kunak dan dipercayai untuk dijual kepada pihak lain di negara jiran.
Suspek direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut peruntukan berkaitan kesalahan senjata api, dadah dan imigresen.

