Masuk rumah mahu baiki telefon, ditahan kes rogol jiran

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki merogol jirannya, wanita berusia 19 tahun, di sebuah kediaman perumahan rakyat di Kampung Titingan, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek warga tempatan berusia 24 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau kira-kira jam 10 malam Khamis lalu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam Selasa apabila mangsa membenarkan suspek yang dikenalinya masuk ke rumah untuk membantu membaiki telefon bimbit.

“Suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke bilik sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh,” katanya.

Rosdi berkata, suspek ditahan di kediamannya di kawasan berkenaan selepas polis menerima laporan daripada mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan berhati-hati ketika membenarkan individu memasuki kediaman, terutama ketika bersendirian.

Berita Berkaitan