PAS jangan campuri urusan politik Sabah, Sarawak – Masiung 

KOTA KINABALU: Naib Presiden Gagasan Rakyat, Masiung Banah mengingatkan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari supaya tidak mencampuri urusan politik Sabah dan Sarawak susulan pertikaian mengenai cadangan penambahan kerusi Parlimen di kedua-dua wilayah.

Masiung mendakwa kenyataan Fadhli berisiko menimbulkan ketegangan antara Sabah dan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan. 

“Kami mempunyai hak ke atas tuntutan nisbah kerusi Parlimen kerana ia memang termaktub di bawah MA63 yang tercatat dalam sejarah pembentukan Malaysia.

“Tidak timbul siapa Perdana Menteri yang mengumumkan penambahan nisbah kerusi membabitkan pindaan Perlembagaan itu kerana blok Borneo sudah sekian lama menuntut hak berkenaan menerusi MA63,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Masiung yang juga ADUN Kuamut berkata parti politik di Sabah menghormati parti dari Semenanjung, termasuk PAS, tetapi berpandangan pemimpin luar tidak seharusnya menentukan pendirian politik Sabah dan Sarawak.

Kenyataannya sebagai respons kepada Fadhli yang sebelum ini mempersoalkan kebolehlaksanaan penambahan kerusi berkenaan sebelum PRU16. Fadhli berkata PAS mengakui pertambahan kerusi Sabah dan Sarawak diperlukan, tetapi mahu proses itu turut mengambil kira Semenanjung serta melalui rundingan sewajarnya. 

Fadhli turut menggunakan ungkapan “jangan biarkan dia bawa anda terjun gaung bersama-sama” ketika mengingatkan pemimpin Sabah dan Sarawak mengenai sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. 

Masiung bagaimanapun berkata pemimpin Sabah dan Sarawak matang untuk membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

Menurutnya, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjejaskan semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat di kedua-dua wilayah. 

Berita Berkaitan