Ceroboh Gunung Kinabalu, Mauro Persic dikompaun maksimum RM25,000
KOTA KINABALU: Pendaki warga Croatia, Mauro Persic dikenakan kompaun maksimum RM25,000 selepas didapati memasuki kawasan Gunung Kinabalu tanpa permit melalui laluan tidak dibenarkan.
Menurut laporan The Star, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata Persic telah menjelaskan kompaun berkenaan selepas diberi penerangan oleh pegawai penguat kuasa Taman-Taman Sabah mengenai kesalahan serta penalti di bawah Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2024).
Persic sebelum itu dibenarkan keluar dari KPJ Sabah Specialist Hospital pada Jumaat selepas menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya ketika terjatuh di lereng Gunung Kinabalu.
Jafry berkata urusan pengeluaran notis dan penyelesaian kompaun dikendalikan Pegawai Pendakwa Taman-Taman Sabah, Roslizan Sallin, Pegawai Penyiasat Eddy Robert serta Pasukan Pendakwaan Khas Taman-Taman Sabah.
Prosiding berkenaan berlangsung di Pusat Kawalan Operasi, Pejabat Operasi dan Penguatkuasaan di ibu pejabat Taman-Taman Sabah.
Menurut Jafry, perkembangan kes itu turut dimaklumkan kepada polis Ranau bagi tujuan rekod serta tindakan lanjut sekiranya diperlukan.
Selepas kompaun dijelaskan sepenuhnya, Persic diberikan penerangan mengenai peraturan, prosedur dan aspek keselamatan pendakian Gunung Kinabalu termasuk keperluan mematuhi prosedur operasi standard serta peraturan Taman-Taman Sabah.
Persic dilaporkan memasuki Gunung Kinabalu melalui Sungai Mesilau menggunakan laluan tidak dibenarkan dan tanpa permit sebelum terjatuh sehingga mengalami kecederaan pada kaki serta rusuk.
Dia kemudian menghantar isyarat kecemasan pada 6 Sept, mencetuskan operasi menyelamat selama empat hari sebelum berjaya dibawa turun pada 10 Sept.
Persic selepas itu memohon maaf kepada masyarakat Sabah dan mengakui tindakannya mendaki melalui laluan tidak dibenarkan dibuat tanpa pertimbangan yang mencukupi

