SPRM tahan dua penjawat awam, disyaki kemuka tuntutan palsu RM30,000

LAHAD DATU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua penjawat awam kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan tuntutan elaun tugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana bernilai kira-kira RM30,000.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan kira-kira jam 10 pagi pada 17 Sept lalu ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-duanya disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan antara 2022 hingga 2023.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek dijadual didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada 24 Sept ini.

Berita Berkaitan