Sheron pertahan takhta Tropical Rainforest Run

TAWAU: Pelari negara, Sheron Sariman membuktikan penguasaannya apabila berjaya mempertahankan gelaran Terbuka Lelaki 28 kilometer (km) pada Tropical Rainforest Run 2026 di Taman Bukit Tawau.

Sheron menamatkan cabaran laluan hutan hujan yang mencabar dengan catatan 3 jam 10 minit 24 saat, hanya 1 minit 27 saat di depan Milton Amat yang meraih tempat kedua (3:11.51).

Oswald Maikol melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan 3:13.07.

“Ada jangkaan untuk saya mengekalkan rentak kemenangan, jadi saya gembira dapat meraih satu lagi kemenangan tahun ini.

“Persediaan saya tidak begitu menyeluruh kerana keadaan jerebu teruk di Sabah, tetapi saya terus melakukan larian ringan setiap minggu untuk mengekalkan momentum,” kata Sheron.

Kategori Terbuka Wanita 28km pula menjadi milik Sinapilin Sarawi selepas mencatat 5:08.45, mengatasi Satriana Sahirin (5:09.53) dan Lalitah Lintanga (5:12.29).

Sapin @ Sapirin Sumping @ Jemari pula menebus kekecewaan menduduki tempat kedua tahun lalu apabila menjuarai Veteran Lelaki dengan catatan 3:24.28.

Edisi kali ini turut menyaksikan pengenalan kategori 10km dengan Donal Ronaldi Lasius mencipta sejarah sebagai juara pertama Terbuka Lelaki menerusi catatan 53:58, manakala Noor Arina Hamid mengungguli Terbuka Wanita (1:20.34).

Laluan 28km menguji ketahanan peserta menerusi pendakian curam menuju Gunung Lucia sebelum meredah laluan teknikal hutan hujan, manakala kategori 10km membawa peserta sehingga ke Puncak Bombalai pada ketinggian kira-kira 543 meter.

Kejohanan tahun ini turut menarik pelari dari Indonesia, Itali, Filipina, Thailand, Kenya, China, Hong Kong dan Jepun.

Laluan 28km itu diiktiraf International Trail Running Association (ITRA), sekali gus menawarkan mata larian denai antarabangsa kepada peserta yang layak.

Berita Berkaitan