Lelaki tidak dikenali maut terkena renjatan elektrik
LAHAD DATU: Seorang lelaki tanpa dokumen pengenalan diri ditemukan maut selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Puyut di sini, tengah hari ini.
Mangsa yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu pada pukul 12.47 tengah hari.
Seramai 12 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi sejauh enam kilometer dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.
Menurut JBPM, mangsa dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan penduduk kampung turut mendakwa tidak mengenali lelaki berkenaan.
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung dan tali selepas Sabah Electricity memotong bekalan elektrik di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai PBK II Ag Hazizan Hashim berjaya dikawal pada pukul 1.30 petang sebelum ditamatkan pada pukul 1.36 petang selepas keadaan disahkan selamat.

