Lelaki 22 tahun maut tersepit, Viva terbabas berhampiran PPNS

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas Perodua Viva dinaikinya terbabas di bahu jalan berhampiran Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem NG999 pada pukul 4.01 pagi.

Seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas kemudian dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira enam minit kemudian.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan mendapati kemalangan melibatkan dua mangsa dengan seorang lelaki berusia 22 tahun tersepit di dalam kenderaan.

Seorang lagi mangsa dilaporkan telah meninggalkan lokasi sebelum pasukan penyelamat tiba.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan hidraulik spreader dan cutter.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 4.29 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK I Selvister Yamud turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.14 pagi.

Berita Berkaitan