Empat lokasi diserbu, 10 warga Filipina ditahan

LABUAN: Sepuluh warga Filipina termasuk empat kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan selepas empat lokasi sekitar pulau ini diserbu, semalam.

Pengarah JIM Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata, operasi menerusi Op Mahir dan Op Kutip itu dijalankan berdasarkan risikan serta maklumat yang diterima pihaknya.

Katanya, serbuan dilakukan di sebuah premis limbungan kapal, tapak pembinaan dan dua penempatan warga asing.

Seramai 54 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing diperiksa sebelum 10 warga Filipina iaitu empat lelaki, dua wanita serta empat kanak-kanak ditahan.

Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Dua notis saman turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

JIM Labuan menegaskan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin.

Berita Berkaitan