Tikus, lipas ‘bermaharajalela’, 12 premis makanan kena tutup

KOTA KINABALU: Sebanyak 12 premis makanan sekitar pusat bandar diambil tindakan penutupan selepas pemeriksaan mendapati sembilan daripadanya mempunyai masalah urungan perosak termasuk tikus dan lipas.

Tindakan itu hasil Ops Bersepadu Penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Rabu lalu.

Operasi membabitkan 56 anggota itu tertumpu di sekitar Asia City, Bandaran Berjaya, Api-Api dan Warisan Square.

Sebanyak 62 premis diperiksa, merangkumi 56 restoran, empat kiosk atau gerai serta dua bakeri.

Daripada 12 premis yang dikenakan tindakan penutupan, sembilan mempunyai masalah urungan perosak, manakala tiga lagi mencatat markah pemeriksaan kebersihan kurang 65 peratus.

Selain itu, 42 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai ketidakpatuhan termasuk berkaitan kebersihan premis, kawalan perosak, pengurusan sampah, kebersihan pengendali dan penyimpanan makanan.

Dalam penguatkuasaan Akta 852 pula, lapan Notis Borang 2 dikeluarkan, manakala tiada rampasan direkodkan.

Berita Berkaitan