Empat maut nahas Sepanggar, identiti mangsa terakhir dikenal pasti

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan identiti mangsa keempat yang maut dalam kemalangan di Jalan Sepanggar awal pagi tadi sebagai Junior Allyson Julius, 20.

Tiga lagi mangsa ialah Ryanniel Robin, 23, Nicholas Thomas, 24, dan Axelord Nigel Alexander, 21.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu Ryanniel dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju Indah Permai kira-kira jam 2.30 pagi.

Menurutnya, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu merempuh sebuah lori dan Perodua Aruz.

Impak kemalangan menyebabkan lori berkenaan terdorong ke hadapan dan menghimpit sebuah van, sebelum van itu terlanggar Proton X50.

Keempat-empat mangsa yang tersepit dalam Perodua Viva dikeluarkan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Likas.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Berita Berkaitan