Projek RM21 bilion Penang tak bermakna Sabah dipinggir, kata Farid
KOTA KINABALU: Seorang pemimpin PKR Sabah berkata projek pengangkutan bernilai lebih RM21 bilion di Pulau Pinang tidak seharusnya dijadikan ukuran bahawa Sabah dipinggirkan dalam pembangunan infrastruktur.
Ketua Penerangan KEADILAN Sabah Ahmad Farid Sainuri berkata demikian sebagai respons kepada Ketua Penerangan PAS Sabah Mustaman Mustain yang mempersoalkan keutamaan kerajaan persekutuan ketika Sabah masih berdepan masalah jalan dan pelaksanaan Pan Borneo.
Farid berkata nilai lebih RM21 bilion itu merangkumi beberapa projek yang dilaksanakan secara berperingkat, termasuk LRT Pulau Pinang bernilai RM16.8 bilion.
“Tidak tepat jika nilai keseluruhan projek Pulau Pinang dibandingkan hanya dengan satu komponen peruntukan penyelenggaraan jalan Sabah bagi satu tahun,” katanya.
Beliau berkata Belanjawan 2026 turut menyenaraikan Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan 1B bernilai RM15.9 bilion, selain Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 dan 2 RM8.81 bilion serta Lebuhraya Trans Borneo RM2.99 bilion.
Farid bagaimanapun berkata kerajaan mesti memastikan pembangunan infrastruktur Sabah dipercepatkan, khususnya Pan Borneo serta rangkaian jalan luar bandar dan antara daerah.
Menurutnya, keadilan pembangunan bermaksud setiap wilayah dibangunkan berdasarkan keperluan masing-masing, sambil jurang pembangunan Sabah dengan Semenanjung terus dikecilkan.
“Sabah masih mendapat perhatian dan keutamaan Kerajaan MADANI. Tugas kita sekarang ialah memastikan setiap peruntukan dan projek itu dilaksanakan dengan lebih pantas dan sampai manfaatnya kepada rakyat,” katanya.

