Enam tokoh buku Sabah, Borneo terima pengiktirafan ABB 2026

KOTA KINABALU: Enam penerima dalam kalangan penulis, karyawan, penyelidik dan penerbit menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Buku Borneo (ABB) 2026 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2026 pada Ahad.

Majlis Perasmian dan Penutupan PBAKK 2026 disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

ABB 2026 merangkumi enam kategori iaitu Anugerah Buku Terbaik, Penulis Buku Terbaik dan Penerbit Buku Terbaik masing-masing bagi kategori Sabah dan Borneo.

Profesor Datuk Dr Danny Wong Tze Ken dinobatkan penerima Anugerah Buku Terbaik Kategori Borneo serta Piala Yang di-Pertua Negeri Sabah menerusi karya Murder Most Foul: The Kalabakan Massacre 1890.

Beliau membawa pulang wang tunai RM6,000 berserta piala.

Bagi Kategori Sabah, karya Bhahul Puisi Etnik Rungus hasil tulisan Raymond Majumah muncul pemenang dengan menerima RM4,000 serta piala.

Sementara itu, Jaya Ramba memenangi Anugerah Penulis Buku Terbaik Kategori Borneo, manakala Ramli Dollah mengungguli Kategori Sabah.

Anugerah Penerbit Buku Terbaik Kategori Borneo pula dimenangi Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, manakala Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS) memenangi Kategori Sabah. Masing-masing menerima wang tunai RM2,000 berserta piala.

Dalam perkembangan sama, Dr Rozita Buyoh muncul juara Sayembara Menulis Artikel sempena Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2026.

Dr Salbiah Kindoyop meraih tempat kedua, manakala Profesor Madya Dr Norjietta Julita Taisin menduduki tempat ketiga.

ABB 2026 menjadi wadah menghargai sumbangan penulis, karyawan, penyelidik dan penerbit dalam menghasilkan karya yang memperkayakan khazanah ilmu serta intelektual Sabah dan Borneo.

Berita Berkaitan