Jangan terlalu sibuk berpolitik, beri ruang kerajaan bangunkan Sabah
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah digesa tidak terlalu sibuk berpolitik sehingga mengabaikan usaha membangunkan negeri dan menyelesaikan masalah rakyat.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, kerajaan perlu diberikan ruang melaksanakan agenda pembangunan, manakala setiap isu wajar dinilai berdasarkan fakta dan sumber sahih.
“Sekarang adalah masa untuk bekerja, melaksanakan tanggungjawab dan membawa pembangunan kepada rakyat, bukannya sentiasa menidakkan atau mencari kelemahan terhadap setiap usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Sebarang teguran dan kritikan terhadap kerajaan sememangnya boleh dibuat, tetapi biarlah ia berasaskan fakta, angka dan maklumat yang benar supaya tidak mengelirukan rakyat,” katanya.
Yazid berkata, penyebaran maklumat menerusi media sosial yang begitu pantas menuntut masyarakat lebih berhati-hati kerana tidak semua kandungan mempunyai fakta dan konteks lengkap.
Katanya, sekiranya timbul persoalan mengenai dasar, projek atau pencapaian kerajaan, masyarakat perlu mendapatkan penjelasan daripada kementerian, jabatan atau agensi berkaitan.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) P180 Keningau berkata, pembangunan Sabah memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira perbezaan politik.
“Kritikan yang membina boleh membantu, tetapi jangan sampai perbezaan pandangan mengganggu tumpuan kerajaan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
“Jangan kita terlalu sibuk berpolitik sehingga lupa kepada tanggungjawab membangunkan negeri. Rakyat mahu melihat pekerjaan dilaksanakan, pembangunan diteruskan dan masalah mereka diberikan penyelesaian,” katanya.
Menurut Yazid, agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) juga perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan dasar, pembangunan ekonomi, peningkatan infrastruktur, kebajikan rakyat dan pengukuhan modal insan.
Beliau menyeru semua pihak memberi tumpuan kepada usaha membina Sabah yang lebih maju, stabil dan sejahtera demi kepentingan generasi akan datang

