65 kru Filipina ditahan, empat tan hasil laut dirampas
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 65 kru termasuk tekong warga Filipina selepas sebuah vesel nelayan asing dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran berhampiran Pulau Mantanani, Ahad lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, vesel terbabit dikesan kira-kira pukul 1.30 petang ketika anggotanya menjalankan rondaan rutin.
Katanya, pemeriksaan mendapati semua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau permit kerja yang sah.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan imigresen, selain aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang merupakan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan kira-kira empat tan hasil laut di atas vesel berkenaan.
Vesel bersama semua kru dan hasil tangkapan kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Mohd Khairulanuar berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan hasil tangkapan dianggarkan RM350,000.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan negara,” katanya.
Beliau berkata, rondaan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi melindungi keselamatan perairan serta sumber negara.
Pada masa sama, komuniti nelayan dan penduduk pesisir pantai diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut.

