Mengamuk, baling batu di rumah pekerja

TAWAU: Tindakan seorang lelaki warga asing yang didakwa mengamuk dan melontar batu ke arah kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Merotai Kecil, di sini, membawa padah apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan selepas pengadu dimaklumkan pekerja ladang mengenai tindakan lelaki terbabit yang mengganggu ketenteraman di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek dipercayai sering melakukan gangguan sehingga menimbulkan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan pekerja serta keluarga mereka.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Balai Polis Bombalai bersama Polis Bantuan menahan suspek berusia kira-kira 48 tahun di pondok taman permainan di kawasan perumahan pekerja Ladang Merotai Kecil.

“Siasatan awal turut mendapati suspek berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut, manakala tiada rampasan direkodkan ketika tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Rosdi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh mengancam keselamatan, menimbulkan ketakutan atau mengganggu ketenteraman awam.

Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan atau perbuatan menyalahi undang-undang kepada polis bagi tindakan lanjut.

Berita Berkaitan