KM: Pendidikan Al-Quran penting bentuk modal insan berkualiti
KOTA KINABALU: Pendidikan Al-Quran mempunyai peranan penting dalam
membentuk insan yang berilmu, beriman, berakhlak mulia dan bertanggungjawab,
selaras dengan usaha kerajaan negeri membangunkan modal insan berkualiti,
berintegriti dan berdaya saing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri
sentiasa menghargai peranan institusi pendidikan Islam, termasuk sekolah agama,
pondok dan pusat tahfiz, dalam membantu membentuk sahsiah serta jati diri generasi
muda.
Beliau berkata, pendidikan tahfiz perlu terus diperkasakan melalui pendekatan yang
menyeluruh dan seimbang, bukan sahaja dalam bidang hafazan dan ilmu agama, tetapi
turut merangkumi ilmu akademik, teknologi, kemahiran komunikasi, kepimpinan,
keusahawanan serta bidang teknikal dan vokasional.
“Kita mahu melahirkan generasi Al-Quran yang bukan sahaja baik dari sudut hafazan,
tetapi turut cemerlang dalam pelajaran, mempunyai kemahiran, berdisiplin serta mampu
memimpin dan berbakti kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Perasmian Bangunan
Pejabat Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) Wilayah Sabah dan Sarawak di Taman
Sulaman, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk
Isnin Haji Aliasnih.
Hajiji berkata, pembangunan sesebuah negeri tidak seharusnya hanya diukur
berdasarkan kemajuan fizikal dan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya turut
merangkumi pembinaan manusia yang berilmu, berakhlak serta sentiasa berpegang
teguh kepada ajaran agama.
Katanya, generasi yang dididik dengan Al-Quran bukan sahaja mampu menjadi imam,
pendakwah atau pendidik, malah berpotensi menjadi pemimpin, profesional, usahawan
serta anggota masyarakat yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan
negeri dan negara.
Beliau berkata, pembukaan bangunan pejabat MTS Wilayah Sabah dan Sarawak
merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas dan memperkukuh
jaringan pendidikan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Sabah dan Sarawak.
Bangunan ini bukan sekadar sebuah pusat pentadbiran. Lebih daripada itu, ia
merupakan lambang komitmen, kesungguhan dan cita-cita besar untuk melahirkan
generasi yang menghafaz, memahami serta menghayati ajaran Al-Quran dalam
kehidupan mereka,” katanya.
Hajiji turut menggalakkan MTS menjalinkan lebih banyak kerjasama strategik dengan
institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan
kerajaan serta pihak swasta, khususnya dalam pembangunan kurikulum, latihan
perguruan, pendidikan digital, kemahiran teknikal dan vokasional, keusahawanan serta
peluang melanjutkan pengajian.
Beliau berkata, jaringan kerjasama yang kukuh dapat memastikan para pelajar tahfiz
mempunyai laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih luas serta mampu berdikari pada
masa hadapan.
Ketua Menteri turut menegaskan kepentingan pengurusan institusi tahfiz yang baik,
telus dan profesional, termasuk mematuhi semua peraturan dan garis panduan
berkaitan keselamatan bangunan, pencegahan kebakaran, kesihatan, kebersihan serta
kelayakan tenaga pengajar.
Katanya, pengurusan yang baik, telus dan profesional amat penting bagi memastikan
keyakinan ibu bapa serta masyarakat terhadap institusi tahfiz terus terpelihara.
Dalam konteks Sabah yang kaya dengan kepelbagaian agama, budaya dan etnik, beliau
berkata institusi pendidikan agama turut mempunyai tanggungjawab menyemai nilai
kesederhanaan, kasih sayang, toleransi serta penghormatan terhadap masyarakat yang
berbilang kaum dan agama.
“Ajaran Islam menuntut umatnya supaya membawa rahmat, memelihara keamanan dan
membina hubungan yang baik sesama manusia. Nilai-nilai inilah yang perlu diterapkan
kepada para pelajar agar mereka menjadi pendakwah melalui akhlak, ilmu dan
perbuatan yang baik,” katanya.

