Belanja pembangunan Sabah 95.3 peratus, tapi projek siap cuma 43 peratus

KUALA LUMPUR: Peruntukan pembangunan Sabah sudah dibelanjakan sehingga 95.3 peratus, namun hanya 43 peratus daripada 941 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) siap dilaksanakan.

Percanggahan angka itu dibangkitkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2026 di Dewan Rakyat, semalam.

Madius mempersoalkan bagaimana hampir keseluruhan peruntukan pembangunan dibelanjakan sedangkan lebih separuh projek masih belum disiapkan.

“Bagaimanakah hampir keseluruhan peruntukan telah dibelanjakan sedangkan lebih separuh projek masih belum siap?” soalnya.

Menurutnya, daripada 941 projek pembangunan RMK12 di Sabah, hanya 405 projek atau 43 peratus siap, manakala 411 projek (43.7 peratus) masih dilaksanakan dan 125 projek (13.3 peratus) belum bermula atau dalam perancangan.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan pelaksanaan projek kerajaan, terutama apabila rakyat masih berdepan masalah jalan raya, sekolah, kemudahan kesihatan serta bekalan air dan elektrik.

“Rakyat tidak menggunakan angka 95.3 peratus. Rakyat menggunakan jalan yang siap, sekolah yang selamat, klinik yang berfungsi serta bekalan air dan elektrik yang stabil,” katanya.

Madius turut menegaskan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bukan bermaksud semua projek kerajaan sudah siap dan berfungsi, sebaliknya hanya mengesahkan kewajaran penyata kewangan.

Lebih membimbangkan, katanya, masih terdapat projek lama yang belum diselesaikan termasuk 70 projek RMK9, 358 projek RMK10 dan 1,602 projek RMK11.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan lima tuntutan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan lebih telus dan berkesan.

Antaranya mewujudkan Dashboard Projek Awam dalam tempoh 90 hari, memperkenalkan Sijil Kesiapsiagaan Projek sebelum tender, melaksanakan semakan bebas terhadap projek yang menerima lanjutan masa kedua serta menubuhkan Pasukan Penyelesaian Projek Warisan.

Beliau turut mahu kerajaan membentangkan senarai lengkap projek tertangguh kepada Parlimen dalam tempoh 90 hari, termasuk status kontraktor, peningkatan kos dan tarikh penyelesaian.

Madius menegaskan kerajaan tidak seharusnya terus mengumumkan projek baharu sedangkan projek lama masih gagal disiapkan.

“Rakyat tidak mahu lagi janji tanpa tarikh, projek tanpa penyelesaian atau perbelanjaan tanpa hasil.

“Rakyat mahu kemudahan yang siap, berfungsi dan boleh digunakan,” katanya.

Berita Berkaitan