Belanjawan 2027: MBS sambut komitmen kerajaan, mahu jurang peluang anak muda Sabah terus dirapatkan
KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyambut baik penekanan Belanjawan 2027 terhadap pembangunan modal insan, peningkatan pendapatan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat, khususnya beberapa inisiatif yang berpotensi memperluas peluang pembangunan generasi muda di Sabah.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, peningkatan peruntukan Persekutuan untuk Sabah kepada RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion pada tahun sebelumnya merupakan perkembangan penting dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa keberkesanan belanjawan perlu dinilai bukan sahaja melalui jumlah peruntukan, tetapi juga berdasarkan pencapaian yang dapat dirasai masyarakat, khususnya anak muda.
“Bagi anak muda Sabah, ukuran sebenar pembangunan bukan sekadar peningkatan angka peruntukan, tetapi sejauh mana ia mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan memperluas akses kepada pendidikan serta kehidupan yang lebih berkualiti.
“Kita mahu pembangunan negara turut diterjemahkan kepada mobiliti sosial yang lebih baik, supaya anak muda Sabah mempunyai peluang yang saksama untuk membina masa depan tanpa dibatasi faktor geografi dan jurang kemudahan,” katanya.
Mengulas pengumuman peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027, Abqaree berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha memperkukuh pendapatan pekerja, namun perlu disokong dengan pertumbuhan pekerjaan berkualiti serta peningkatan produktiviti.
Menurut beliau, cabaran anak muda Sabah bukan hanya mendapatkan pekerjaan, tetapi memperoleh pekerjaan yang menawarkan pendapatan kompetitif, jaminan kerjaya dan ruang peningkatan kemahiran.
“Kita tidak mahu anak muda terpaksa meninggalkan Sabah semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka. Justeru, pelaburan dan pembangunan industri perlu turut menghasilkan peluang pekerjaan bernilai tinggi di negeri ini,” jelasnya.
Dalam aspek pendidikan dan pembangunan kemahiran, MBS turut mengambil perhatian terhadap peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain sasaran 30,000 peluang pekerjaan melalui inisiatif Bakat MADANI.
Abqaree berkata, kedua-dua inisiatif tersebut perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh ekosistem kemahiran dan kebolehpasaran belia Sabah, khususnya dalam sektor teknologi, tenaga, pelancongan, pertanian moden dan industri berpotensi tinggi.
Beliau turut berharap akses kepada program latihan tidak tertumpu di kawasan bandar semata-mata, sebaliknya diperluas kepada anak muda di daerah dan pedalaman Sabah.
“Latihan kemahiran perlu mempunyai hubungan langsung dengan keperluan industri. Kita perlu bergerak daripada pendekatan melahirkan peserta latihan kepada pendekatan menghasilkan tenaga kerja berkemahiran yang benar-benar mempunyai nilai dalam pasaran pekerjaan,” katanya.
Menyentuh isu pendidikan, MBS turut mengalu-alukan peningkatan bantuan penerbangan FLYsiswa daripada RM400 kepada RM500 serta keputusan menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, melibatkan 4,200 peluang setahun bagi kedua-dua negeri.
Menurut Abqaree, langkah tersebut memberi perhatian kepada cabaran akses pendidikan dan kos mobiliti yang dihadapi mahasiswa dari Sabah dan Sarawak.
Namun, beliau berharap kerajaan terus meneliti isu struktur kos penerbangan domestik, khususnya laluan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia.
“Bagi anak muda Sabah, pengangkutan udara bukan suatu kemewahan, tetapi keperluan untuk mendapatkan pendidikan, pekerjaan dan mengekalkan hubungan kekeluargaan.
“Justeru, bantuan penerbangan wajar dilihat bersama penyelesaian jangka panjang yang mampu meningkatkan kemampuan rakyat untuk bergerak antara wilayah,” katanya.
Dalam aspek kos sara hidup dan perumahan, Abqaree berkata, bantuan kewangan serta kemudahan pembiayaan rumah pertama perlu disertai pendekatan yang mengambil kira kemampuan sebenar golongan muda, khususnya mereka yang baru memasuki alam pekerjaan dan membina keluarga.
Beliau berkata, pembangunan perumahan mampu milik perlu bergerak seiring dengan peningkatan pendapatan, akses pengangkutan dan kemudahan asas agar pemilikan rumah tidak menjadi beban kewangan jangka panjang.
MBS turut menekankan kepentingan memastikan pembangunan infrastruktur di Sabah, termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan kemudahan digital, memberi manfaat langsung kepada peluang pendidikan, kegiatan ekonomi dan kehidupan masyarakat luar bandar.
Menurut Abqaree, jurang pembangunan bukan sahaja wujud antara Sabah dan Semenanjung, tetapi juga antara kawasan bandar dengan daerah serta pedalaman di negeri ini.
Sementara itu, MBS turut menyambut baik pengenalan inisiatif BUDI Belia yang memberikan insentif e-dompet RM100 kepada anak muda yang memenuhi syarat penyertaan aktiviti kesukarelawanan.
Beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan kesukarelawanan dalam pembangunan masyarakat dan pembentukan kepimpinan generasi muda.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar pelaksanaannya melibatkan rangkaian organisasi belia di peringkat negeri, bahagian, daerah dan komuniti supaya manfaatnya dapat diperluas secara lebih menyeluruh.
“Pertubuhan belia bukan sekadar penganjur aktiviti, tetapi merupakan institusi pembangunan kepimpinan, perpaduan dan kesukarelawanan di peringkat akar umbi.
“Sokongan kepada organisasi belia perlu dilihat sebagai pelaburan sosial jangka panjang yang mampu memperkukuh keupayaan masyarakat dan melahirkan generasi pemimpin masa hadapan,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Abqaree berkata, MBS berharap pelaksanaan Belanjawan 2027 disertai mekanisme pemantauan yang jelas bagi menilai sejauh mana inisiatif kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada anak muda Sabah.
Beliau turut menegaskan kesediaan MBS untuk bekerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam memperluas capaian program pembangunan belia di negeri ini.
“Anak muda Sabah tidak hanya mahu menjadi penerima manfaat pembangunan, tetapi turut berperanan sebagai penyumbang kepada kemajuan negara.
“Justeru, kejayaan Belanjawan 2027 perlu diukur melalui peluang yang diwujudkan, keupayaan yang dibangunkan dan peningkatan kualiti kehidupan generasi muda secara berterusan,” katanya.

