Bas Pink KK servis terbaik, tetapi pemandu didakwa terlalu laju

KOTA KINABALU: Perkhidmatan Bas Pink di bandar raya ini mendapat pujian pengguna kerana menawarkan kemudahan pengangkutan awam yang baik, namun tindakan pemandu yang didakwa memandu terlalu laju menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penumpang.

Seorang pengguna, Husnita Husbi, berkata beliau berpuas hati dengan perkhidmatan Bas Pink, tetapi terkejut apabila mendapati bas yang dinaikinya dari pusat bandar Kota Kinabalu menuju ke Luyang dipandu agak laju.

Menurutnya, keadaan itu membimbangkan memandangkan jalan raya di sekitar ibu negeri sering sesak dengan pelbagai jenis kenderaan.

“Bas Pink memang terbaik, servis pun bagus dan perjalanan cepat. Tetapi pemandu janganlah terlalu laju kerana keselamatan penumpang lebih penting,” katanya ketika berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Husnita berkata, ketika perjalanan itu, jumlah penumpang dalam bas tidak begitu ramai dan beliau tidak menolak kemungkinan keadaan berkenaan menyebabkan pemandu bergerak lebih pantas.

Bagaimanapun, katanya, jumlah penumpang yang sedikit bukan alasan untuk mengabaikan aspek keselamatan ketika memandu.

Menurutnya, perkhidmatan Bas Pink sememangnya memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk urusan harian.

Namun, beliau berharap pihak pengendali memberi perhatian terhadap disiplin pemanduan bagi memastikan perkhidmatan itu bukan sahaja cekap, malah selamat digunakan.

Husnita turut menggesa pihak berkuasa berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap pemandu Bas Pink, terutama dari segi pematuhan had laju dan keselamatan penumpang.

Katanya, pemantauan awal penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, lebih-lebih lagi ketika bas melalui laluan sibuk di sekitar Kota Kinabalu.

Beliau berharap teguran itu dapat membantu meningkatkan mutu perkhidmatan Bas Pink yang disifatkannya sebagai antara kemudahan pengangkutan awam yang baik di ibu negeri.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai kelajuan bas berkenaan adalah berdasarkan pengalaman pengguna dan belum mendapat pengesahan daripada pihak pengendali.

Berita Berkaitan