704 kenderaan diperiksa, Ops Asap buru pencemar udara di Labuan

LABUAN: Sebanyak 704 kenderaan diperiksa menerusi Operasi Kenderaan Bermotor Rentas Wilayah 2026 (Ops Asap) bagi mengesan kenderaan yang mengeluarkan asap melebihi had dibenarkan.

Operasi bersepadu dikendalikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama JAS Sabah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut JAS Labuan, operasi itu bertujuan membanteras pencemaran udara akibat pelepasan asap kenderaan selain memastikan pemilik kenderaan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Sebanyak 704 kenderaan diperiksa sepanjang operasi bagi memastikan tahap pelepasan asap mematuhi had dibenarkan.

“Tindakan perundangan diambil terhadap sebarang ketidakpatuhan mengikut bidang kuasa agensi penguat kuasa terlibat,” menurut maklumat operasi berkenaan.

Penguatkuasaan itu dilaksanakan selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

JAS Labuan turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik dan tidak mengeluarkan asap berlebihan.

Langkah berkenaan penting bagi mengurangkan pencemaran udara serta memelihara kualiti alam sekitar.

Bagaimanapun, jumlah kenderaan yang dikenakan tindakan tidak dinyatakan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan