Pemilihan Warisan: Mohd Zinin gesa kekalkan konsensus tiga kaum utama Sabah
KOTA KINABALU: Parti Warisan digesa mempertahankan keseimbangan kepimpinan antara tiga komuniti politik utama Sabah bagi mengelakkan perpecahan dalaman menjelang pemilihan parti yang dijadual berlangsung di Sandakan pada 24 dan 25 Oktober ini.
Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mohd Zinin Andong Ajak berkata, konsensus melibatkan Bumiputera Islam, Cina dan Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) merupakan asas penting yang membentuk identiti parti sejak penubuhannya pada 17 Oktober 2016.
Menurutnya, walaupun pembahagian kepimpinan berdasarkan tiga komuniti berkenaan tidak dinyatakan secara khusus dalam perlembagaan parti, amalan itu sudah menjadi konvensi yang diterima sejak Warisan ditubuhkan.
“Sistem kuota tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Parti Warisan, tetapi secara konvensi, pembahagian kepimpinan mengikut tiga komuniti politik terbesar Sabah iaitu Bumiputera Islam, Cina dan KDMR merupakan peraturan tidak bertulis yang menjadi dasar penubuhan parti.
“Semangat keadilan dan kesaksamaan yang didukung parti diterjemahkan melalui peraturan dan amalan tidak bertulis yang diterima secara konvensi sejak penubuhan Warisan,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-10 parti itu.
Bimbang perbezaan pendekatan cetus perpecahan
Mohd Zinin berkata, antara cabaran yang perlu ditangani Warisan ketika memasuki dekad kedua penubuhannya ialah perbezaan pendekatan politik dalam kalangan pemimpin parti.
Menurutnya, terdapat pemimpin yang cenderung kepada pendekatan idealis dengan keyakinan bahawa rakyat Sabah mampu mengetepikan perbezaan kaum dan agama dalam menentukan kepimpinan.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebahagian pemimpin lain masih berpegang kepada keperluan mengekalkan keseimbangan perwakilan etnik berdasarkan realiti sosiopolitik Sabah.
Katanya, perbezaan pendekatan itu perlu diurus secara bijaksana supaya tidak menjejaskan perpaduan dan kestabilan dalaman parti.
Beliau berpandangan bahawa persaingan politik di Sabah masih dipengaruhi komposisi etnik serta kepentingan komuniti yang perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.
Justeru, katanya, usaha memperkenalkan perubahan dalam parti tidak seharusnya mengabaikan konsensus yang menjadi asas pembentukan Warisan.
Pemilihan Naib Presiden, Majlis Tertinggi jadi tumpuan
Mengulas Mesyuarat Agung dan Pemilihan Warisan yang akan berlangsung di Sandakan pada 24 hingga 25 Oktober ini, Mohd Zinin menyeru semua perwakilan supaya mempertahankan semangat kerjasama dan kesaksamaan ketika memilih barisan kepimpinan baharu.
Menurutnya, keseimbangan perwakilan Bumiputera Islam, Cina dan KDMR perlu terus diberikan perhatian, khususnya bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan semua komuniti utama Sabah terus mempunyai ruang yang saksama dalam struktur kepimpinan parti.
“Sempena ulang tahun ke-10 Parti Warisan, saya menyeru pemimpin dan ahli supaya mempertahankan asas identiti parti yang berteraskan kerjasama, perdamaian dan keadilan saksama,” katanya.
Mohd Zinin turut mengingatkan bahawa persaingan merebut jawatan tidak seharusnya menyebabkan pemimpin mengabaikan matlamat asal perjuangan parti.
Warisan perlu bersatu hadapi PRU16
Dalam pada itu, beliau berkata, Warisan perlu memperkukuh perpaduan dalaman bagi menghadapi cabaran politik yang semakin dinamik, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurutnya, parti itu perlu mencari titik persamaan antara pendekatan politik baharu dengan amalan konsensus yang sudah menjadi sebahagian daripada identitinya.
“Kita boleh memiliki pendekatan yang berbeza dalam pemikiran politik dan hubungan manusia, namun saya percaya semua kita memiliki semangat dan kepercayaan terhadap kerjasama, perdamaian dan keadilan dalam mengatur sebarang persaingan kepentingan dan kekuasaan.
“Kita memiliki tujuan akhir yang sama iaitu memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, ulang tahun ke-10 Warisan sepatutnya menjadi ruang untuk ahli dan pemimpin menilai semula kekuatan parti serta memperkukuh semangat toleransi antara kaum.
Katanya, perjuangan Warisan sejak penubuhannya dibina atas prinsip keadilan politik, ekonomi dan sosial tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Sehubungan itu, Mohd Zinin berharap pemilihan parti kali ini dapat berlangsung dalam suasana harmoni dengan semua perwakilan menghormati kepelbagaian masyarakat Sabah.
— SABAH NEWS TODAY

