Banjir lumpur, tanah runtuh di Ranau, jalan tidak boleh dilalui
RANAU: Hujan berterusan mengakibatkan banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Kemburongoh, di sini, awal pagi tadi sehingga menyebabkan jalan raya tidak dapat dilalui dari kedua-dua arah.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada limpahan air dari kawasan bukit yang menyebabkan tanah menggelongsor sedikit demi sedikit.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima aduan orang awam menerusi talian kecemasan MERS 999 sebelum mengarahkan anggota polis ke lokasi pada jam 4.25 pagi.
Katanya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang tiba pada jam 5.15 pagi mendapati limpahan air dari atas bukit menyebabkan gelunsuran tanah di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati berlaku limpahan air dari atas bukit yang menyebabkan tanah menggelongsor sedikit demi sedikit.
“Jalan berkenaan tidak dapat dilalui dari kedua-dua arah buat masa ini, manakala anggota bomba turut berada di lokasi bagi memantau keadaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Mursalin turut menasihatkan penduduk supaya berwaspada susulan hujan berterusan yang boleh mengundang risiko banjir lumpur, tanah runtuh dan pokok tumbang.
“Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan sebarang kejadian di kawasan masing-masing supaya bantuan awal dapat disalurkan pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan penduduk.
— SABAH NEWS TODAY

