Projek Sabah, Sarawak dibatal: PAS tuntut kerajaan dedah siapa bertanggungjawab
KOTA KINABALU: PAS Sabah mempersoalkan pembatalan projek pembangunan di Sabah dan Sarawak serta mendesak kerajaan mendedahkan pihak yang bertanggungjawab membuat keputusan berkenaan.
Pesuruhjayanya, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, kerajaan tidak boleh sekadar memberikan alasan birokrasi tanpa menjelaskan mengapa projek yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua wilayah itu dibatalkan.
Menurutnya, jika keputusan berkenaan dibuat tanpa alasan munasabah atau secara tidak adil, ia boleh menimbulkan persoalan diskriminasi terhadap Sabah dan Sarawak.
“Sabah dan Sarawak bukan negeri kelas kedua dalam Persekutuan Malaysia.
“Rakyat Borneo berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama, bukan terus dibebani jurang pembangunan sedangkan harapan mereka berulang kali dipertaruhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aliakbar yang juga ADUN Karambunai berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri berhubung pembatalan projek di kedua-dua wilayah berkenaan.
Beliau mendesak siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca pembatalan, proses membuat keputusan dan individu yang mempunyai tanggungjawab terhadap keputusan itu.
“Rakyat berhak mengetahui siapa yang membuat keputusan dan atas alasan apa projek-projek berkenaan dibatalkan,” katanya.
Menurut Aliakbar, kerajaan perlu berterus terang sekiranya pembatalan berpunca daripada kekangan teknikal atau kewangan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan tegas perlu diambil jika siasatan menemukan unsur pilih kasih, diskriminasi atau penyalahgunaan kuasa.
“Kerajaan tidak boleh berlindung di sebalik alasan birokrasi,” katanya.
Aliakbar berkata, pembatalan projek pembangunan bukan sekadar keputusan pentadbiran kerana ia boleh menjejaskan kemudahan asas, kehidupan masyarakat dan masa depan generasi akan datang.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa desakan PAS Sabah itu didorong sentimen kenegerian.
Sebaliknya, katanya, isu tersebut membabitkan prinsip keadilan dan tanggungjawab kerajaan Persekutuan terhadap rakyat Sabah dan Sarawak.
“Jangan biarkan Sabah dan Sarawak hanya diingati ketika diperlukan, tetapi diketepikan ketika hak pembangunan diputuskan,” katanya.
PAS Sabah turut menggesa kerajaan mengemukakan penjelasan rasmi serta memastikan projek penting kepada rakyat tidak dibatalkan sewenang-wenangnya.
— SABAH NEWS TODAY

