ESSCOM gempur Kunak, 10 ditahan, nilai rampasan dan kompaun cecah RM269,439
KUNAK: Seramai 10 individu ditahan, manakala nilai keseluruhan rampasan, kompaun dan anggaran penalti mencecah RM269,439.26 dalam operasi besar-besaran Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di daerah ini, semalam.
Operasi Gasak Laut dan Operasi Bersepadu itu membabitkan 202 pegawai serta anggota daripada 19 jabatan dan agensi penguatkuasaan yang menggempur premis perniagaan serta kawasan darat dan laut.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos berkata, enam individu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selepas pemeriksaan terhadap 64 orang.
Katanya, empat lagi individu ditahan polis mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas pemeriksaan terhadap 12 premis dan 60 individu.
“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah merekodkan lima kes kompaun bernilai RM170,000 hasil pemeriksaan terhadap 10 premis perniagaan membabitkan 45 pekerja.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula merampas rokok dengan anggaran nilai termasuk duti sebanyak RM30,939.26 hasil pemeriksaan terhadap enam premis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan kompaun RM5,000, manakala Majlis Daerah Kunak mengenakan kompaun RM500 terhadap sebuah premis yang beroperasi tanpa lesen sah.
Dalam operasi sama, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merampas kabel elektrik seberat tujuh kilogram bernilai kira-kira RM3,000 selepas memeriksa 22 rumah.
Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) pula merampas sembilan enjin bot pam, sebuah enjin sangkut dan sebuah bot dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10,000.
Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenal pasti lima kes disyaki melakukan kesalahan untuk siasatan lanjut, dengan anggaran penalti maksimum RM50,000 tertakluk kepada hasil siasatan.
Victor berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras penyeludupan, penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi, aktiviti berkaitan barangan tidak bercukai serta keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, ESSCOM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
“Tiada Hari Tanpa Operasi,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan boleh menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.
— SABAH NEWS TODAY

