Hajiji terima kunjungan Fahmi, bincang pelaksanaan JENDELA 2 di Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Kunjungan itu turut memberi tumpuan kepada perkembangan terkini pelaksanaan Fasa Kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA 2) dalam usaha memperluas liputan internet dan memperkukuh infrastruktur komunikasi digital di Sabah.

Dalam pertemuan berkenaan, Hajiji turut diberikan taklimat mengenai perkembangan projek JENDELA 2 yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.

Pelaksanaan projek itu dilihat penting dalam menangani cabaran capaian internet berkualiti yang masih dihadapi penduduk berikutan faktor geografi serta taburan penempatan yang berselerak.

Sebelum ini, Fahmi memaklumkan bahawa JENDELA 2 merangkumi kira-kira 3,000 lokasi di seluruh negara, dengan hampir 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan pelaksanaan fasa kedua berkenaan.

Turut menyertai kunjungan hormat itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din serta Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohd Razi; Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datuk Hassan Mahali dan Pengerusi Sabah Net, Datuk Azman Ruslan.

Pelaksanaan JENDELA 2 merupakan antara inisiatif kerajaan bagi merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, sekali gus meningkatkan akses masyarakat terhadap kemudahan komunikasi serta perkhidmatan internet yang lebih berkualiti.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan