Jaga kemudahan kolej, nama baik UMS, mahasiswa diingatkan
KOTA KINABALU: Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan supaya memainkan peranan menjaga kemudahan kolej kediaman serta memelihara nama baik universiti.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, usaha memastikan persekitaran kolej sentiasa bersih, selesa dan kondusif memerlukan kerjasama mahasiswa, bukan hanya tanggungjawab pihak pengurusan.
Beliau berkata, penghuni pertama Kolej Kediaman Numbak (KKN) perlu menunjukkan contoh baik dalam menjaga kemudahan supaya dapat dimanfaatkan generasi mahasiswa seterusnya.
“Mahasiswa juga digalakkan menyuarakan pandangan dan kritikan berkaitan kemudahan kolej secara berhemah serta penuh rasa hormat,” katanya ketika melawat kolej berkenaan bersama pengurusan universiti.
Menurutnya, beberapa isu kritikal yang pernah dibangkitkan mahasiswa sudah diselesaikan, sekali gus membuktikan kesediaan pihak universiti mendengar dan mengambil tindakan terhadap aduan pelajar.
Abdul Rahman turut menggesa mahasiswa membantu menyampaikan maklumat tepat mengenai inisiatif universiti kepada masyarakat, selain memberikan sokongan moral kepada warga kampus.
Katanya, kemudahan tempat tinggal yang baik penting bagi menyokong kesejahteraan dan pengalaman pembelajaran mahasiswa sepanjang pengajian.
Pada lawatan sama, beliau merasmikan Food Bank Madani UMS@KKN serta menyampaikan sumbangan Bank Makanan Madani@UMS berjumlah RM19,000 bagi menyokong kebajikan mahasiswa.
— SABAH NEWS TODAY

