600 mahasiswa terima bantuan makanan Maxim
KOTA KINABALU: Seramai 600 mahasiswa daripada tiga institusi pengajian tinggi menerima bantuan makanan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Maxim Malaysia bagi meringankan beban kos sara hidup mereka.
Bantuan itu membabitkan masing-masing 200 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Cyberjaya College dan UNITAR International University.
Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, inisiatif bank makanan berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat membantu mahasiswa yang berdepan cabaran kewangan sepanjang tempoh pengajian.
“Para mahasiswa sedang membina masa depan mereka, dan kesukaran kewangan kadangkala menjadikan perjalanan tersebut lebih mencabar.
“Kami berharap bantuan ini dapat menjadi peringatan bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, setiap pek bantuan mengandungi barangan makanan asas termasuk Milo, Nestum, mi segera, sardin dalam tin dan biskut.
Sementara itu, Pemangku Jabatan Kebajikan Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar UMS sesi 2025/2026, Mohamad Furkhan Abdullah berkata, sumbangan berkenaan sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan kewangan mahasiswa.
“Bantuan seperti ini secara langsung dapat meringankan sebahagian daripada beban kewangan pelajar yang perlu mengimbangi kos pengajian dengan perbelanjaan sara hidup,” katanya.
Maxim turut merancang memperluas kerjasama dengan institusi pendidikan menerusi program kebajikan, kesedaran keselamatan jalan raya dan pembangunan komuniti.
— SABAH NEWS TODAY

