Balik kampung pun kena elak lubang jalan!
KOTA KINABALU: “Setiap kali aku balik kampung, mesti ada sahaja jalan yang rosak.”
Itu luahan seorang pengguna media sosial yang kecewa dengan keadaan jalan raya berlubang dan tidak rata di Sabah sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna.
Menerusi perkongsian di Threads menggunakan nama akaun @qeedoo_, individu terbabit mendakwa kerosakan jalan sering menjadi masalah setiap kali melakukan perjalanan pulang ke kampung.
Menurutnya, ada jalan yang berlubang, manakala sebahagian lagi mempunyai permukaan tidak rata sehingga memerlukan pemandu sentiasa berwaspada.
“Kadang-kadang jalan berlubang, kadang-kadang permukaan jalan pula tidak rata.
“Kalau memandu waktu malam, memang kena lebih berhati-hati sebab susah nak nampak keadaan jalan,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Lebih membimbangkan, pengguna itu turut berkongsi pengalaman ketika mengikuti keluarganya ke pekan minggu lalu apabila bapanya terpaksa berkali-kali mengelak lubang sepanjang perjalanan.
“Minggu lepas, aku ikut keluarga pergi ke pekan. Sepanjang perjalanan, ayah aku asyik mengelak lubang jalan,” katanya.
Perkongsian itu turut disertakan gambar sebatang jalan yang kelihatan mempunyai permukaan tidak rata dan beberapa bahagian bertampal.
Bagaimanapun, lokasi sebenar jalan terbabit tidak dinyatakan dalam hantaran berkenaan.
Luahan itu sekali gus membangkitkan persoalan mengenai tahap penyelenggaraan jalan raya, khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi laluan harian penduduk.
Keadaan jalan berlubang bukan sahaja menyukarkan perjalanan, malah boleh mengundang risiko kemalangan terutama kepada penunggang motosikal dan pengguna yang memandu pada waktu malam.
— SABAH NEWS TODAY

