Media rakan strategik selamatkan generasi muda Sabah daripada dadah

KOTA KINABALU: Pengamal media perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai rakan strategik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Skuad Antidadah Sabah dalam usaha membendung ancaman penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan generasi muda di negeri ini.

Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan, sukarelawan dan media amat penting bagi memastikan mesej pendidikan serta pencegahan dadah dapat disampaikan secara lebih meluas dan berkesan.

Menurutnya, media bukan sekadar berperanan melaporkan kejadian berkaitan dadah, sebaliknya mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan bahan terlarang itu.

“Kita tidak mahu masyarakat hanya mengenali dadah apabila berlaku tangkapan, jenayah atau tragedi.

“Sebaliknya, kita mahu masyarakat memahami bahayanya lebih awal melalui pendidikan, kesedaran dan pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis High Tea Skuad Antidadah Sabah dan AADK bersama rakan-rakan media di sebuah hotel di sini.

Mazlan berkata, Skuad Antidadah Sabah perlu menjadi gerakan masyarakat yang benar-benar aktif mendekati komuniti dan bukannya sekadar organisasi yang mengejar jawatan, berbangga dengan pakaian seragam atau menghadiri program semata-mata.

Katanya, ahli skuad perlu memperluas aktiviti turun padang ke kampung, sekolah, institusi pengajian tinggi serta kawasan pedalaman bagi mendekati golongan muda melalui pendekatan yang bersesuaian.

“Kita perlu mendekati dunia anak muda, memahami minat mereka dan membimbing potensi mereka jika mahu menyelamatkan mereka daripada terjebak dengan dadah,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti sukan, permotoran, kebudayaan, pendidikan dan keusahawanan antara pendekatan yang boleh dimanfaatkan bagi menarik penyertaan golongan muda dalam program pencegahan dadah.

Dalam perkembangan sama, Mazlan menegaskan bahawa usaha memerangi dadah tidak seharusnya menjadikan individu yang terjebak dalam penagihan sebagai musuh masyarakat.

Sebaliknya, katanya, golongan berkenaan perlu diberikan peluang kedua melalui sokongan rawatan, pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat supaya mereka mampu membina kehidupan lebih baik.

Beliau turut menggalakkan media mengetengahkan lebih banyak kisah kejayaan bekas penagih yang berjaya pulih sebagai sumber inspirasi dan harapan kepada individu lain yang masih bergelut dengan masalah sama.

“Kita mungkin tidak mampu menghapuskan ancaman dadah dalam satu hari. Tetapi jika usaha kita hari ini berjaya menyelamatkan walaupun seorang anak muda daripada terjebak dengan dadah, itu sudah merupakan satu kejayaan yang cukup besar,” katanya.

Mazlan berkata, kerjasama AADK, Skuad Antidadah Sabah dan media perlu terus diperkukuh melalui perkongsian maklumat tepat, pandangan serta teguran membina bagi meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan dadah.

Menurutnya, perjuangan membanteras penyalahgunaan dadah merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat demi melindungi keluarga dan masa depan generasi Sabah.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh; Timbalan Ketua Pengarah AADK, Zainudin Abdullah; Pengarah AADK Sabah, Elmariah Chung serta pengerusi-pengerusi daerah Skuad Antidadah Sabah.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan