Cahaya misteri di langit Sabah berpunca daripada pelancaran roket China
KOTA KINABALU: Teka-teki penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah pada awal pagi Isnin lalu akhirnya terjawab apabila Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan fenomena itu berpunca daripada pelancaran roket milik China.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi MYSA memaklumkan, roket Long March 12 dilancarkan dari Hainan International Commercial Launch Center di Wenchang, Hainan, China pada jam 4.24 pagi waktu tempatan.
Menurut kenyataan MYSA hari ini, pelancaran berkenaan turut mendapat perhatian Agensi Angkasa Filipina (PhilSA) susulan kemungkinan serpihan roket jatuh di kawasan perairan negara itu.
“Zon jatuhan serpihan itu dianggarkan berada kira-kira 25 batu nautika dari Puerto Princesa, Palawan dan 19 batu nautika dari Tubbataha Reefs Natural Park, iaitu dalam wilayah perairan Filipina,” menurut kenyataan itu.
MYSA menjelaskan, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai penemuan serpihan objek daripada pelancaran roket berkenaan dalam wilayah kedaulatan Malaysia.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai penampakan cahaya tersebut, sebaliknya merujuk maklumat daripada pihak berkuasa berkaitan.
Orang ramai yang menemui objek mencurigakan dipercayai mempunyai kaitan dengan pelancaran roket itu diminta segera menghubungi Bahagian Penguasa Angkasa di talian 03-8885 8685 atau menerusi e-mel bpadg@mosti.gov.my.
— SABAH NEWS TODAY

